JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) tidak perlu terikut-terikut dengan strategi parti lain yang sudah mula memperkenalkan calon-calon mereka satu persatu yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan percaya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan mempunyai pendekatan tersendiri dalam soal penamaan calon dan masa terbaik untuk berbuat demikian.
Beliau berkata, yang pasti keputusan yang akan diambil itu adalah terbaik untuk parti serta demi kepentingan rakyat di negeri ini.
“Dalam konteks calon ini, kita tidak terlalu terkesan terhadap apa yang pihak lain buat. Saya yakin apa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya selaku Pengarah PRN Johor BN serta Pengerusi Perhubungan UMNO, Datuk Hasni Mohammad ada pendekatan dan strategi mereka.
“Soal kita nak namakan calon ini biarlah kepimpinan parti putuskan siapa dan ‘timing’ kerana UMNO dan BN tidak terikat dengan kaedah atau pendekatan parti lain,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog santai bersama mahasiswa Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Pakatan Harapan (PH) Yang sudah menamakan calon mereka.
Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali sebagai calon bagi mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Hari ini, PH Johor turut akan mengumumkan dua lagi calon Yang akan bertanding di DUN Mengkibol dan DUN Mahkota dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP. -K! ONLINE