Oleh ASLIZA MUSA
IPOH – Jenazah anggota Tentera Darat, Abdul Aziz Aznam, 20, yang meninggal dunia setelah terjatuh dari tingkat tiga kuarters kediaman di sebuah kem tentera di Batu Pahat, Johor kelmarin, selamat dikebumikan di Tanjung Rambutan, awal pagi hari ini.
Jenazah Allahyarham Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata di sini pada pukul 2.30 pagi.
Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibawa dari Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat itu tiba di rumah keluarganya di Bandar Baru Putra, Bercham di sini pada pukul 1.30 pagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Ketibaan jenazah diiringi Batalion Ke-10 Rejimen Askar Melayu Diraja (10 RAMD) Batu Pahat.
Majlis pengebumian jenazah Allahyarham yang dilangsungkan dalam istiadat ketenteraan itu dihadiri lebih 200 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk kampung dan rakan-rakan anggota tentera itu.
Sementara itu kakak Abdul Aziz, Azlinna Aznam, 24, ketika ditemui meminta semua pihak agak menghentikan sebarang spekulasi tidak berasas membabitkan kejadian menimpa adiknya itu.
Katanya, laporan polis berkaitan kejadian itu telah dibuat dan mereka sekeluarga menyerahkan siasatan kes berkenaan kepada pihak polis.
“Sekarang kes melibatkan Abdul Aziz dalam siasatan polis, biarlah polis siasat.
“Apapun kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah memudahkan urusan pengebumian Abdul Aziz,” katanya.
Dalam kejadian pada 29 Ogos lalu, Abdul Aziz mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan selepas dipercayai cuba membunuh diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan kediaman di Kem Majidee Batu Pahat, Johor.
Mangsa yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail di Batu Pahat bagaimanapun menghembus nafas terakhirnya pada pukul 2.30 petang kelmarin.
Berdasarkan satu perkongsian di laman Facebook oleh Adin Rashid, Abdul Aziz dilaporkan tidak hadir bertugas sejak enam bulan lalu sebelum diarahkan untuk kembali semula ke kem pada 28 Ogos lalu.
Dalam hantaran sama, Abdul Aziz dikatakan dihantar ke kem tersebut oleh keluarganya sebelum mereka dikejutkan berita lelaki itu dimasukkan ke hospital akibat kecederaan parah setelah terjatuh dari bangunan tiga tingkat itu pada pukul 12 tengah malam. – K! ONLINE