JOHOR BAHRU – Perbincangan antara Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan Pakatan Harapan (PH) bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan dengan lancar, kata Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bagaimanapun, Syed Saddiq enggan mengulas lanjut mengenai hasil perbincangan itu serta jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Muda di PRN Johor ke-15.
Pengasas parti Muda itu berkata, perincian lanjut mengenai perbincangan itu akan diumumkan secara bersama parti komponen dalam PH sekiranya mencapai sepakat apabila tiba masanya.
“Apabila kita sertai pilihan raya, untuk kita berjaya membawa pembaharuan yang menyeluruh, penting untuk kita kurangkan musuh dan banyakkan kawan khususnya kawan yang percaya bersama ingin membawa politik pembaharuan.
“Proses rundingan sedang berjalan dalam tempoh yang agak baik. Cuma perinciannya lebih baik diumumkan bersekali.
“Fokus Muda sekarang ini bukan sekadar rundingan kerusi yang akan ditandingi. Sebab itu, kita buat Kempen Jelajah Mendengar dengan menyasarkan kira-kira satu juta orang dalam tempoh dua ke tiga minggu supaya dapat merangka dasar yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Kempen Jelalah Mendengar sempena PRN Johor di Al-Mizan Satay House, Jalan Tebrau di sini hari ini.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, PH yang merupakan gabungan Amanah, PKR dan DAP terbuka berbincang dengan mana-mana parti untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya di negeri tersebut. -K! ONLINE