KLUANG – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh Sheikh Umar Bagharib Ali bakal merebut kembali kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, pemilihan Sheikh Umar adalah tepat berikutan prestasinya yang memenangi kerusi Paloh pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu di samping ketika menjawat jawatan exco kerajaan negeri selama 22 bulan Pakatan Harapan memerintah.
Lim berkata, pemilihan semula Naib Presiden DAP Johor yang juga Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dengan harapan PH dapat mandat semula menjadi kerajaan bagi membawa pembaharuan di Johor.
“Sebagai calon mewakili PH Sheikh Umar menunjukkan Paloh adalah paluan gendang pertama untuk PRN Johor di mana kita umumkan niat untuk berkhidmat untuk rakyat dan negeri Johor supaya kita ada harapan yang lebih baik,” katanya.
“Dengan matlamat bukan sahaja untuk menang kerusi DUN ini tetapi juga berjaya menjadi kerajaan negeri Johor supaya beliau boleh kembali sekali lagi sebagai exco kerajaan negeri Johor.
“Kita bertanding bukan kerana hanya hendak menangkan Sheikh Umar seorang sahaja, kita bertanding bukan untuk menang kawasan Paloh sahaja, kita bertanding untuk menang kerajaan, kerana kita nak bawa pembaharuan untuk rakyat negeri Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Bilik Gerakan Pilihanraya dan Pengumuman Calon Pakatan Harapan N.30 DUN Paloh di pejabat ADUN Paloh di Jalan Abu Bakar di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengunakan logo Pakatan Harapan (PH) bersama dengan semua parti parti yang sehaluan dengan PH. -K! ONLINE