BUKAN selalu antem yang dipetik daripada naskhah animasi mampu menjadi siulan dunia dan meroket ke tangga pertama carta lagu popular, Billboard Hot 100. Lahir daripada ‘soundtrack’ filem Encanto, skeptikal tersebut berjaya dicantas lagu berjudul We Don’t Talk About Bruno.
Kejayaan tersebut sekali gus menjadikan lagu ciptaan pemuzik global, Lin-Manuel Miranda itu sebagai lagu Disney pertama abad ke-21 yang berjaya menduduki tangga pertama carta berprestij berkenaan.
Lin-Manuel hebat
Setelah sekian lama berkecimpung dalam dunia ‘broadway’ terutama Hamilton, Lin-Manuel membuktikan kepada dunia bahawa bakat bukan kepalang.
Filem debut arahannya, West Side Story digembar-gemburkan sebagai antara pesaing terhebat Oscars akan datang dan kini, lagu ciptaannya menyerlah masuk dalam arena arus perdana menjadi lagu popular dunia.
We Don’t Talk About Bruno yang disuntik elemen Latin pop dan salsa sekarang mengharum ‘rent-free’ (percuma) di minda pendengar termasuk penulis. Melodinya mudah melekat dalam halwa telinga sehinggakan, di mana-mana sahaja berada waima sedang di kamar mandi atau di kamar tidur, lagu tersebut bermain dalam fikiran.
Cerminan Encanto
Dari segi kualiti komposisi muzik, lagu tersebut boleh diibaratkan seperti ‘ensemble’ yang mencerminkan setiap karakter dalam Encanto. Iramanya semacam suluhan dan membawa pendengar menyelinap masuk ke dalam dunia Encanto.
Dari segi naratif, lagu berkenaan berceritakan tentang karakter Brunos Madrigal dari perspektif keluarganya dan penduduk setempat.
Melodi yang terkandung dalam We Don’t Talk About Bruno bersifat catchy dan tersusun rapi. Nilai seperti klimaks bersifat dramatik, elemen misterinya dan olahan lirik tersendiri merupakan sebab mengapa lagu tersebut dilambung tinggi bukan sahaja di Amerika Syarikat bahkan seluruh dunia.
Buat penulis, We Don’t Talk About Bruno merupakan satu antem Latin pop yang sangat bergaya dari segi terjemahan melodi dan lirik. Jika Let It Go (Frozen) hanya berjaya menduduki tangga lima teratas Billboard Hot 100 dan menang beberapa anugerah utama global, percayalah, kejayaan ‘lebih’ menanti antem berkenaan.
Kejayaan di sini bermaksud, pengiktirafan dalam acara besar seperti Academy Awards dan Grammy Awards yang sememangnya layak bukan hanya buat We Don’t Talk About Bruno bahkan keseluruhan album runut bunyi Encanto.
Sebuah antem atau diskografi yang bagus bukan hanya tentang vokal ‘over the top’ tetapi mempunyai nilai mewakili golongan minoriti dan itulah yang disampaikan We Don’t Talk About Bruno yang kaya dengan elemen mahal hasil minda kreatif Lin-Manuel Miranda.