Oleh ROHANA MOHD. NAWI, NOOR HASLIZA NUSI dan AZAHAR HASHIM
BACHOK – “Adik sudah membiayai kos saya menunaikan umrah, jadi saya tidak mahu lagi dia menanggung kos insurans.”
Demikian dilema yang dialami seorang ibu tunggal, Asiah Mat Zin, 57, berhubung ketetapan kerajaan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu dengan setiap jemaah perlu dilindungi oleh insurans bagi perjalanan ibadah yang akan bermula 8 Februari ini.
Asiah berkata, dia sepatutnya berangkat ke Mekah pada 17 Januari lalu, namun terpaksa menangguhkan perjalanan selepas kerajaan menghentikan sementara kebenaran
perjalanan umrah bermula 8 Januari lalu.
Katanya, sehubungan itu, dia berharap tiada kos tambahan yang bakal dikenakan apabila setiap jemaah umrah perlu dilindungi insurans.
“Saya pergi menunaikan umrah ini atas tajaan adik (Radziah Mat Zin, 55), dia yang mengeluarkan wang untuk membawa saya ke tanah suci.
“Jika ada pertambahan kos disebabkan oleh perlindungan insurans ini, saya tidak mampu untuk menanggungnya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Tawang, di sini semalam.
Ujarnya, dia tiada masalah dengan dua SOP baharu iaitu jemaah lengkap vaksinasi dan wajib mengambil dos penggalak kerana sudah memenuhi arahan tersebut.
“Jika melibatkan pertambahan kos, ia pastinya akan memberi kesan kepada jemaah umrah yang kurang berkemampuan seperti saya,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) menggariskan tiga SOP baharu bagi perjalanan jemaah umrah untuk menunaikan ibadah itu yang akan bermula 8 Februari ini.
Di George Town, bakal jemaah umrah, Fatimah Abdullah, 56, berkata, dia berharap agar tiada sebarang pertambahan kos ibadah umrah mahupun kenaikan caj insurans sejurus SOP baharu itu dibawa ke Mesyuarat Kuartet untuk kelulusannya nanti.
Katanya, kenaikan kos perlindungan insurans terutama melibatkan jangkitan Covid-19 sepatutnya tidak berlaku di saat bakal jemaah umrah kini sedang membilang hari untuk berangkat ke Tanah Suci.
“Biarpun saya belum dimaklumkan mengenai SOP keperluan insurans perlindungan kesihatan terutama berkaitan Covid-19, sudah pastinya perkara itu akan menimbulkan keresahan tentang kos tambahan yang bakal dikenakan.
“Saya sudah menjelaskan kos pembiayaan ibadah umrah sebanyak RM8,690 dua tahun lalu dan dijadual berlepas ke Tanah Suci pada 28 Februari ini.
“Menjadi satu bebanan untuk kami sekiranya berlaku kenaikan kos tambahan di saat akhir dan berharap perkara ini tidak berlaku. Sedangkan pakej umrah itu sudah termasuk dengan kos perlindungan insurans perjalanan jemaah nanti,” katanya.
Di Kulim, seorang bakal jemaah, Zul Azni Mohd. Noor, 59, berkata, SOP yang ditetapkan oleh MOTAC tidak memberi sebarang masalah kepadanya dan keluarga.
Katanya, semua ahli keluarganya sudah lengkap suntikan vaksin Covid 19 dua dos dan ada yang sudah mengambil dos penggalak.
“Insya-Allah untuk dua dos suntikan dan dos tambahan tiada masalah kepada keluarga kami kerana semua sudah lengkap dua dos serta dos penggalak.
“Begitu juga dengan perlu ada insurans untuk jemaah kerana sebagai pengembara ke luar negara pun ada yang telah mengambilnya dan saya difahamkan oleh agensi syarikat umrah ada telah mengambilnya bagi tujuan umrah,” katanya. -K! ONLINE