KLANG – Musibah banjir yang dialami 460 warga kerja Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Disember tahun lalu diringankan apabila menerima bantuan RM500 setiap seorang.
Yang Dipertua MPK, Noraini Roslan berkata, sumbangan itu sebagai inisiatif dan keprihatinan MPK kepada warganya yang kehilangan dan kerosakan harta benda.
Katanya, berdasarkan jumlah keseluruhan warga kerja itu didapati enam daripadanya adalah ketua jabatan dan lapan ahli majlis.
“Ini juga merupakan tanda cakna MPK terhadap warga kerjanya termasuk keluarga yang terkesan dengan banjir dan diharap mampu meringankan beban kewangan dan emosi yang ditanggung selain bantuan ehsan diberikan oleh pihak kerajaan.
“Saya berharap kesemua mereka yang terlibat dengan kejadian banjir lalu terus beristiqamah dengan kekuatan serta kesabaran dengan ujian dan dugaan ini,” katanya pada majlis penyampaian Dana Khas Pasca Banjir MPK Prihatin di Ibu Pejabat MPK, hari ini. – K! ONLINE