KUALA LUMPUR – Inter Club Football League (ICFL) memainkan peranan dalam aspek pembangunan akar umbi apabila menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 tahun (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 di Kota Bharu, Kelantan bermula 1 hingga 4 Mac ini.
Kejohanan dengan kerjasama Grey United FC dan sokongan Majlis Sukan Negara serta Majlis Sukan Negeri Kelantan itu berjaya mendapat sambutan menggalakkan daripada pasukan-pasukan dari seluruh negara.
Selain itu, ICFL turut menanti pengesahan tempat daripada pasukan Akademi Mokhtar Dahari yang berpengkalan di Gambang, Kuantan, Pahang.
Presiden ICFL, Datuk Kamil Mokhtar menjelaskan, tujuan utama kejohanan itu adalah mewujudkan satu platform khas untuk anak-anak muda dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain bola sepak berkualiti.
“Selain itu, ICFL turut menyediakan ‘system data base‘ bagi setiap pemain dan pasukan yang terlibat untuk persediaan mereka menjadi pemain professional.
“Sistem ini telah terbukti keberkesanannya kerana terdapat perubahan besar yang berlaku terhadap pemikiran dan pencapaian pemain di peringkat lebih tinggi, malah ada di antara mereka telah terpilih mewakili daerah dan negeri masing-masing.
“Pasukan juara akan mewakili ICFL Malaysia bersaing dalam kejohanan antarabangsa melibatkan pasukan dan kelab dari luar negara seperti Brunei, Singapura, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Jepun,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, ICFL turut berharap agensi-agensi kerajaan dan swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran tahun ini bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan kebangsaan. – K! ONLINE