PETALING JAYA – Penyanyi dan pelakon Ariff Bahran memasuki senarai terbaharu selebriti yang dijangkiti Covid-19.
Khabar duka tersebut dikongsikan Ariff menerusi akaun Instagramnya awal pagi tadi.
“Waktu yang tepat ketika serangan panik melanda. Bergegas ke klinik selepas sesi penggambaran. Rasa lemah badan, selesema sakit tekak.
“Buat ujian kendiri dua kali dan tak puas hati. Pergi ke klinik untuk menjalani ujian RTK. Disahkankan positif Covid-19,” tulisnya.
Pada hantaran sama, pelantun lagu Kata Akhirmu itu turut berasa risau terhadap isteri dan keluarganya memandangkan mereka baru sahaja menyambut hari lahir bapanya semalam.
“Saya risaukan isteri dan keluarga kerana kami baru sahaja sambut hari jadi ayah hari ini (semalam). Doakan semuanya baik-baik sahaja.
“Untuk mereka yang sedang bekerja, tolong jaga prosedur operasi standard (SOP),” tulisnya lagi.
Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis memberikan kata-kata semangat serta doa buat Ariff agar segera sembuh.
Ariff dan Amirah mendirikan rumah tangga pada 3 September 2021. Pasangan tersebut mendedahkan status perhubungan mereka selepas membuat persembahan dalam sebuah majlis anugerah hujung tahun lalu.
Hari ini, penyanyi dan pelakon Nabila Razali turut mengesahkan dirinya dijangkiti Covid-18 buat kali kedua dan sedang menjalani kuarantin kendiri selama 10 hari. – K! ONLINE