BAGAN SERAI – Tiga sekawan ditangkap kerana memiliki dadah dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Matang Pasir Semanggol di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 50-an yang diberkas pada pukul 10 pagi itu merupakan rakan karib dan bekerja kampung.
Pemeriksaan di rumah itu menemui dua ketulan mampat dipercayai ganja seberat 593.12 gram (g) di atas meja kayu di bahagian dapur.
“Turut ditemui satu tiub kaca syabu di sebuah bilik dan satu paket ganja di dalam bilik berasingan,” katanya di sini hari ini.
Polis percaya kesemua dadah itu untuk edaran setempat. Ujian saringan air kencing mendapati tiga suspek positif dadah, namun tiada rekod kesalahan jenayah. – K! ONLINE