fbpx

Program KSBN bikin kecoh di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian ahli KSBN bergambar kenangan pada program Perkampungan Kelab Sahabat Bonda Nor di Kampung Kandang, Melaka baru-baru ini.

MELAKA – Kehadiran sekumpulan peminat penulis buku bergenre dakwah santai yang sering mencatat jualan best-seller, Bonda Nor berjaya memeriahkan suasana dalam satu Program Perkampungan Kelab Sahabat Bonda Nor (KSBN) di Kampung Kandang, Melaka Tengah dekat sini, baru-baru ini.

Kira-kira 50 peserta yang hadir bersama ahli keluarga berpeluang beramah mesra dengan Bonda Nor atau nama sebenarnya, Norli Madlan sekali gus mengeratkan ukhuwah yang terjalin menerusi alam maya.

Acara itu dianjurkan oleh Kelab Sahabat Bonda Nor yang mula ditubuhkan sekitar bulan Julai 2019 dan kini mempunyai ahli kira-kira 1,200 orang.

Antara buku-buku terbitan Bonda Nor Resources yang diwakafkan di Masjid As Salimin.

Menurut Bonda Nor, program bertemakan Sirih Pulang Ke Gagang itu bertujuan untuk meraikan sebahagian peminat yang telah banyak menyokong perjuangannya dalam dunia penulisan dakwah santai tanah air.

“Saya gembira menerima kehadiran peserta KSBN di kampung sendiri. Di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim, mereka juga berpeluang mengenali penduduk kampung terutama ahli keluarga saya.

“Malah, ibu dan bapa saya seronok untuk melayan tetamu yang berkunjung hingga sanggup menyediakan masakan istimewa,” katanya ketika ditemui.

Pada program itu, pelbagai acara diatur bagi memeriahkan suasana termasuklah aktiviti ramah mesra bersama kariah Masjid As Salimin, penyerahan projek wakaf buku Bonda Nor Resources serta sukaneka di kebun milik ibu dan ayah penulis itu.

Sementara itu, Presiden KSBN, Rafiuddin Rohani berkongsi, melalui program tersebut para peserta boleh menyelami sisi kebaikan seorang Bonda Nor yang sentiasa berusaha memberikan yang terbaik buat penyokongnya.

“Siapa yang telah mengenali Bonda Nor, pasti tahu tentang sifatnya yang suka memberi dan sering mengajak pada kebaikan. Insya-Allah, moga usaha ini dipandang sebagai jariah di sisi Allah,” jelas beliau yang merupakan seorang pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI