GEORGE TOWN – Disebabkan gagal mengawal perasaan, seorang lelaki menikam isterinya sebelum nekad terjun dari tingkat 12 sebuah pangsapuri di Paya Terubong di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 7.30 pagi itu disedari orang awam yang menemui lelaki berusia 54 tahun tersebut dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, kejadian itu terbongkar kira-kira lima jam kemudian apabila ibu mentua lelaki itu memaklumkan tiada respon daripada anak perempuannya.
Polis kemudiana bergegas ke rumah pasangan itu di tingkat 12 sebelum mendapati seorang wanita berusia 46 tahun itu berlumuran darah di atas katil di dalam bilik.
“Pemeriksaan mendapati ada dua kesan tikaman pada leher dan paha mangsa selain penemuan pisau yang dipercayai digunakan untuk membunuh wanita tersebut.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek menikam isterinya sebelum bertindak terjun pangsapuri,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Menurut Saravanan, punca kejadian dipercayai akibat perselisihan faham antara pasangan yang merupakan pekerja kilang.
“Pasangan ini mempunyai anak berusia 18 tahun, namun ketika kejadian hanya mereka berdua berada di rumah manakala anak mereka pula berada di rumah neneknya di Air Itam,” katanya.
Mayat pasangan itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk dibedah siasat. – K! ONLINE