LONDON – Pemain tengah West Ham United, Pablo Fornals mahu rakan sepasukan melupakan segera ‘percutian’ singkat dengan memberi tumpuan penuh untuk mengharungi aksi pusingan keempat Piala FA menentang Kidderminster Harriers malam ini.
Kata Fornals, selepas melalui rehat selama dua minggu bagi memberi laluan kepada kalendar antarabangsa, pasukan bakal mengharungi jadual padat dan barisan pemain perlu bersedia sepenuhnya dari segi mental dan fizikal.
“Saingan musim ini masih berbaki tiga bulan dan sudah tentu tempoh rehat dua minggu yang diberikan cukup bermakna buat barisan pemain selepas mengharungi jadual cukup padat khususnya pada Disember lepas.
“Kini, tumpuan sepenuhnya harus diberikan pada aksi Piala FA menentang Kidderminster dan saya harap pasukan tidak memandang rendah mereka meskipun beraksi di Liga Nasional sahaja.
“Selepas itu, kita akan beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Watford dan kemudian kancah Liga Europa pada pertengahan bulan nanti. Justeru, saya harap pasukan kembali memberi tumpuan penuh dalam usaha melakar keputusan positif,” katanya.
Sementara itu, pengendali The Hammers, David Moyes optimis pasukannya tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan momentum dengan meraih kemenangan apabila bertemu Kidderminster di Stadium Aggborough nanti.
“Saya pasti barisan pemain sudah tidak sabar untuk memulakan saingan pada bulan ini. Kita akan berusaha meneruskan cabaran dalam kempen EPL dan melangkah sejauh mungkin pada kejohanan Piala FA dan Liga Europa musim ini,” katanya. – AGENSI