fbpx

Kekangan kewangan dorong buat bisnes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SUAMI, Khairil Annuar Kassim menjadi tulang belakang dan sumber inspirasi buat Rahayu untuk terus melebar sayap bisnes yang diusahakan.

TEMPOH dua dekad bergelar pendidik dan mengajar anak bangsa bukan suatu masa yang singkat.

Mula berkecimpung dalam arena pendidikan sebagai guru bermula 1997 membuatkan ibu kepada enam cahaya mata ini cukup ‘masak’ dengan cabaran kewangan terutama melibatkan pendidikan anak-anak.

Pelbagai onak duri, pahit manis dan sepak terajang telah dilalui anak jati kelahiran Sungai Petani, Kedah itu di samping usaha menabur bakti mendidik anak bangsa hingga berjaya.

Tidak setakat mengajar, pemilik nama sebenar Rahayu Ismail turut mempunyai minat mendalam dalam dunia perniagaan yang sedikit sebanyak membantu menambah pendapatan keluarga.

Katanya, minat ke arah perniagaan telah mendorong dirinya berniaga secara kecil-kecilan sejak 10 tahun yang lalu selain komited dengan kerjaya hakiki.

“Minat berniaga itu memang ada dalam diri sejak belajar lagi dan sampailah saya mula mengajar kira-kira 25 tahun yang lalu.

“Dahulu gaji cikgu bukannya besar mana. Masa tu macam-macam belanja dan benda kita rasa nak beli tapi kerana kekangan kewangan yang betul-betul terhad, jadi terpaksa kita lupakan hasrat tersebut,” katanya kepada Aura.

Justeru, jelas Rahayu, dia mula memikirkan bagaimana untuk menambah pendapatan agar bebas kewangan dan hajat untuk membeli apa sahaja dapat dilakukan.

“Jadi dari situ saya pun cubalah beranikan diri daftar jadi ejen dan pengedar beberapa jenis produk.

“Bukan saja produk kecantikan, malah macam-macam produk pernah saya jual dan buat secara separuh masa sampailah satu masa saya rasa nak buat produk sendiri.

“Maka, beberapa tahun selepas itu lahirlah produk saya sendiri iaitu krim Kapur Limau Limau (KSL) yang pada asalnya diformulasi buat wanita sedang dan lepas berpantang,” katanya.

Benar bak kata orang, kalau sudah rezeki pasti tidak ke mana. Begitu juga dengan guru Bahasa Inggeris itu yang mana tidak sampai seminggu produk dipasarkan, permintaan yang diterima luar dari jangkaan.

BARISAN staf, kakitangan termasuk ejen dan pengedar yang berjaya dilahirkan Rahayu di bawah syarikatnya, Inspirasi Ayumurny.

Ujar Rahayu, dia terkejut kerana maklum balas serta respons yang diterimanya bukan sahaja dalam kalangan wanita berpantang, tetapi daripada pelbagai peringkat.

“Saya dapat banyak respons mengatakan produk saya ini bukan sahaja sesuai digunakan untuk mereka yang baru bersalin, tetapi serbaguna dan baik untuk membantu membuang angin dalam badan, melegakan pening kepala, batuk, selsema dan lain-lain.

“Kanak-kanak, remaja dan semua peringkat umur pun beritahu saya KSL ini sesuai digunakan buat mereka. Jadi bermula daripada situ, saya terus fokus jalankan bisnes sampailah ke saat ini,” katanya.

Rahayu bersama sebahagian barisan produk yang dikeluarkan syarikatnya.

Tambah Rahayu, ekoran permintaan memberangsangkan daripada pelanggan, syarikatnya turut mengeluarkan beberapa barisan produk lain seperti syampu dan makanan sihat penuh serat yang dikeluarkan sempena bulan puasa dua tahun lalu.

Disoal mengenai cabaran dilalui, Rahayu berkata, dalam perniagaan, pasti wujud dan tidak akan pernah lari daripada menghantui, tetapi ia semua bergantung kepada niat dan bagaimana cara kita menguruskan perniagaan tersebut.

“Saya sendiri tidak terlepas daripada banyak cabaran. Antaranya masa yang terhad, cabaran menguruskan pasukan di musim pandemik dan banyak lagi. Tapi itu semua bukan alasan untuk kita terus bangkit.

“Satu lagi, niat yang saya pegang sejak hari pertama saya berniaga adalah untuk membantu, memberi manfaat, berkongsi rezeki dan suntik inspirasi kepada orang lain, bukan semata-mata berniaga dan demi keuntungan sahaja,” katanya yang kini sudah berjaya melahirkan hampir 4,000 pengedar di seluruh negara di bawah jenama Ayumurny. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI