LUMUT – Seorang lelaki warga emas yang terkunci dalam tandas di sebuah rumah di Taman Guru, Sitiawan ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Ling Chee Moh, 63,sudah meninggal dunia ketika anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa dari tandas di dalam rumahnya itu.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada anak perempuan mangsa pada pukul 9.38 pagi.
“Anak mangsa menelefon bomba selepas mendapati bapanya tidak keluar dari tandas sebelum sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung dan Sitiawan diketuai Komander Operasi, Shariman Hashari, bergegas ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di rumah itu, kami bertindak mengumpil pintu tandas tersebut dan selepas berjaya dibuka, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 10.31 pagi. – K! ONLINE