fbpx

GVT sasar 1,500 van, bas elektrik dijual tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Majlis pelancaran Projek Wakaf Van Jenazah dan Van Madrasah serta penyerahan yang pertama dari projek diusahakan GVT di Masjid Paya Sena Pendang Kedah baru-baru ini.

PETALING JAYA – Industri automatif negara terus berkembang pesat dan bersaing hebat dengan syarikat pesaing tempatan serta antarabangsa.

GVT atau Gurun Vehicle Technologies Sdn Bhd yang dulunya dikenali sebagai GO EV Solution Sdn Bhd juga tidak terkecuali merancang strategi mengukuhkan legasi dan jenamanya.

Selepas tiga tahun, jenama 100 peratus milik bumiputera di bawah subsidiari syarikat Go Auto Group itu antara yang terus mendominasi pasaran kenderaan elektrik dan konvensional sama ada bagi pasaran penumpang dan komersial bagi tujuan perniagaan.

Menurut Pengarah Eksekutif GVT, Wan Ahmad Wan Omar, sejak beroperasi sudah lebih 500 unit kenderaan elektrik dan diesel merangkumi jenis bas, van, trak dan kenderaan khusus seperti ambulans, sekuriti dan yang direka khas pelbagai fungsi.

“Tahun ini, kami mahu mensasarkan jualan 1,500 unit van dan bas termasuk yang jenis elektrik dan menggunakan diesel.

“Malah kini 80 peratus pasaran jualan digunakan kerajaan untuk dijadikan pengangkutan penumpang, ambulan dan sekuriti. Tahun ini juga kami sasarkan untuk menguasai pasaran dalam segmen van penumpang contohnya untuk pekerja kilang dan pelajar sekolah, van kegunaan khusus seperti dijadikan van jenazah. Tak ketinggalan van panel bagi kegunaan penghantaran barang,” katanya.

Katanya lagi di Malaysia pasaran van secara total antara 5,000 ke 6,000 unit setahun.

“Rata ratanya dalam 70 peratus didominasi jenama besar antarabangsa seperti Toyota, Nissan dan Ford. Selebihnya jenama lain.

“Kami sendiri mempertaruhkan van komersial jenama Go Auto Higer ACE yang dipasang secara lokal menerusi 40 peratus penggunaan bahan tempatan.

“Ia didatangkan dengan jenis van 18 kerusi dan 15 kerusi yang dilengkapkan ciri keselesaan dan keselamatan mengikut keperluan pengguna Malaysia,” katanya.

Wan Ahmad menambah, van berkenaan didatangkan dengan spesifikasi berbeza.

Namun adat dalam berniaga, persaingan dan cabaran itu sentiasa ada. GVT sendiri berdepan dengan beberapa pesaing syarikat luar negara dan tempatan.

“Seperti sedia maklum, pada fasa awal produksi, sekitar 80 peratus bahan digunakan diimport dari China. Namun pada masa ini kita menghadapi masalah kualiti komponen yang tidak sesuai dengan klimaks di Malaysia.

“Dalam masa tiga tahun ini kita sudah membuat banyak penambahbaikan tahap kualiti bahan tempatan dengan mencapai tahap kualiti yang setanding dengan jenama antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata syarikatnya juga tidak terus berada di zon selesa. Bahkan merangka pelbagai pelan dalam usaha untuk menjadi peneraju van dan bas elektrik di pasaran tanah air.

“Kami mahu menyediakan platform untuk membeli alat ganti van menerusi e-dagang. Kami juga mahu mewujudkan lagi banyak pusat servis selepas jualan.

“Tidak ketinggalan meningkatkan mutu kualiti pusat khidmat pelanggan serta memberikan pengalaman kepada mereka. Kami juga bakal melancarkan beberapa jenis model baru sama ada secara elektrik atau konvesional bagi van panel komersial untuk kegunaan perniagaan kecil dan sederhana (SME) serta van atau bas mini penumpang,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI