fbpx

Hakim ingatkan peguam beri keutamaan kes rasuah Rosmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rosmah ketika tiba di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan mengingatkan kepada peguam bela Datin Seri Rosmah Mansor bahawa mereka perlu memberikan keutamaan kepada kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor memandangkan ia adalah kes jenayah dan melibatkan saksi terakhir.

Dalam prosiding hari ini perbicaraan bela diri ditangguhkan ke 15 Februari berikutan saksi itu iaitu bekas Pegawai Khas di di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod yang sepatutnya dipanggil memberi keterangan hari ini tidak dapat hadir kerana masih menjalani kuarantin.

Hakim Mohamed Zaini berkata demikian selepas peguam Azrul Zulkifli Stork memaklumkan bahawa saksi pembelaan itu masih dalam kuarantin wajib di rumah iaitu Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di rumah selepas pulang dari menunaikan umrah pada 29 Januari lalu.

Semasa prosiding Azrul berkata, mengikut jadual asal, Siti Azizah sepatutnya pulang ke tanah air pada 27 Januari lalu dan selepas menjalani kuarantin selama tujuh hari yang berakhir semalam, saksi itu sepatutnya memberikan keterangan pada hari ini seperti yang ditetapkan mahkamah sebelum ini.

“Bagaimanapun Siti Azizah terpaksa menunda penerbangan pulang kepada 29 Januari lalu kerana penerbangan dari Abu Dhabi ke Kuala Lumpur pada tarikh asal (27 Januari) dibatalkan yang menyebabkan tempoh kuarantin kendiri di rumah hanya berakhir esok,” katanya.

Selepas mendengar penjelasan peguam itu, hakim Mohamed Zaini kemudian menangguhkan prosiding kepada 15 Februari ini.

“Perkara ini perlu diutamakan. Ini perkara jenayah, ia saksi terakhir,” kata hakim itu.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan kepada hakim bahawa pihak pendakwaan tidak akan mengambil masa yang lama dengan pemeriksaan balasnya (cross examination).

Sebelum ini dalam prosiding lalu, mahkamah dimaklumkan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan bela diri tersebut.

Pihak pembelaan memberitahu, keputusan untuk menggugurkan Najib daripada senarai saksi pembelaan dimuktamadkan pada saat-saat akhir sejurus selepas pihak pembelaan mengadakan sesi perbincangan.

Kata peguam itu, Najib tidak perlu dipanggil memberi keterangan selepas meneliti keterangan bela diri Rosmah ketika disoal balas oleh pihak pendakwaan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI