KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan Unit Tindakan Khas (UTK) akan menjadi pasukan respons pertama jika keselamatan pantai timur Sabah diancam kumpulan militan, Abu Sayyaf.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain berkata, unit itu akan ditempatkan di kawasan pantai timur Sabah bagi meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman di negeri tersebut.
“Kami hanya menambah bilangan keanggotaan di kawasan itu dan peranan UTK berbeza dengan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menjaga sempadan.
“Ini bagi memastikan tiada kes penculikan berlaku sekali gus mempertingkatkan kawalan keselamatan,” katanya ketika sidang akhbar di majlis Pride of Workmanship Award, di sini hari ini.
Tambah beliau, maklumat terperinci berhubung unit terbabit tidak akan didedahkan terlebih dahulu.
Sebelum ini, akhbar melaporkan sub ketua kumpulan Abu Sayyaf merangkap pakar pembuat bom digelar Mudzrimar atau Mundi Sawadjaan disahkan masih hidup.
Hasil risikan pasukan keselamatan Filipina serta Joint Task Force Sulu (JTFS) dan Western Mindanao Command (J2 WESTMINCOM) mendapati Mudzrimar kali terakhir dilihat di sebuah kawasan di Sulu pada 10 Januari lalu. – K! ONLINE