KUALA LUMPUR – Bekas Penyelidik Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4) Lalitha Kunaratnam beri keterangan bagi membantu siasatan polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.
Lalitha dilihat tiba pada pukul 2.25 petang sambil diiringi oleh peguamnya, Manjeet Singh Dhillon sebelum memberi keterangan dipercayai berhubung dua penulisan artikelnya berkaitan dakwaan pemilikan saham oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurutnya, dia dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes tersebut yang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan.
“Saya telah menjawab kesemua 83 soalan diberikan dan pegawai yang merakam keterangan saya juga menguruskannya dengan sangat profesional.
“Keterangan yang saya berikan sebanyak 15 muka surat oleh kerana itu ia mengambil masa sehingga tiga jam setengah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan, Lalitha dipanggil ke Bukit Aman bagi memberi keterangan berhubung dua artikelnya yang bertajuk Business ties among MACC leadership: How deep does it go?.
Pada 12 Januari lalu, Azam melalui peguam mewakilinya memfailkan tuntutan saman fitnah RM10 juta terhadap Lalitha di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan penerbitan sebuah artikel di sebuah portal agensi berita, bertarikh 26 Oktober dan 15 Disember tahun lalu.
Peguam cara, Megat Abdul Munir, dilaporkan berkata, keputusan mengemukakan saman fitnah dibuat selepas Lalitha gagal memberi sebarang maklum balas terhadap LOD bertarikh 6 Januari lalu. – K! ONLINE