KUALA TERENGGANU – Kebanyakan lokasi tarikan di bandar raya ini sesak dengan orang ramai yang mengambil kesempatan cuti panjang sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah.
Tinjauan Kosmo! mendapati, Pasar Besar Kedai Payang di sini diserbu pengunjung sejak awal pagi semalam bagi mendapatkan produk dan makanan tradisional Terengganu.
Seorang pengunjung dari Kelantan, Ahmad Fikri Husni, 36, berkata, dia berkunjung ke pasar besar terbabit bagi membeli keropok lekor dan keping, serunding serta kain pasang.
“Tak sangka penuh sesak sehingga memaksa kami menghabiskan masa hampir sejam semata-mata untuk mencari tempat letak kereta walaupun cuti umum sudah berakhir semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Salah seorang peniaga, Hasmah Che Rasid, 57, pula menambah, dia tidak menang tangan melayan pelanggan yang berpusu-pusu mengunjungi Pasar Besar Kedai Payang sejak Sabtu minggu lalu.
“Saya terpaksa mengambil dua pekerja sambilan baharu bagi membantu melayan pelanggan.
“Apa pun syukur perniagaan kembali rancak seperti sebelum penularan pandemik Covid-19. Yang penting kita kena jaga prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Sementara itu, Jambatan Angkat Kuala Terengganu turut menjadi tumpuan pelancong.
Seorang pengunjung dari Selangor, Mohd. Ramzi Roslan, 33, berkata, dia dan ahli keluarganya terpaksa beratur sehingga 30 meter sebelum dapat membeli tiket menaiki galeri ruang tinjau.
“Tidak apalah beratur panjang. Kami teruja untuk melawat jambatan angkat yang ikonik ini buat pertama kali,” katanya. -K! ONLINE