GEORGE TOWN – Berebut pelanggan dikatakan punca peniaga di Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama di sini bergaduh sesama sendiri dalam kejadian malam kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 36 tahun mendakwa berlaku perselisihan faham antara dirinya dengan lima lelaki lain.
Katanya, dua daripada lelaki tersebut merupakan adik lelaki pengadu, manakala tiga lagi adalah sepupunya.
“Semasa pergaduhan kedua-dua pihak menggunakan kerusi dan kayu sebagai senjata, manakala mereka yang terlibat mengalami kecederaan ringan iaitu luka dan calar pada badan.
“Kesemua yang terlibat juga telah hadir menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Saravanan, hasil siasatan mendapati punca pergaduhan dikatakan kerana berebut pelanggan selain terdapat dendam lama antara kedua-dua belah pihak.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan satu video memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di medan selera yang popular dalam kalangan pelancong itu tular selepas dimuat naik ke laman sosial sejak semalam. – K! ONLINE