KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan tindakan licik sindiket perjudian dalam talian menggunakan nama pucuk pimpinan badan itu untuk berselindung daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang pihak berkuasa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, sindiket terbabit membuat dakwaan bahawa pusat perjudian online di premis-premis komersial sudah mendapat kebenaran operasi daripada pihak atasan PDRM.
“Mereka juga dipercayai sengaja mengadakan cerita telah mendapat kebenaran operasi pihak atasan PDRM bagi menakut-nakutkan anggota polis untuk mengambil tindakan seperti pemeriksaan dan serbuan.
“Selain itu, penggunaan nama pihak atasan juga memberi tarikan dan jaminan kepada pengunjung untuk bermain judi di premis tersebut kerana didakwa kebal daripada pihak berkuasa.
“Polis tidak pernah sesekali memberikan lampu hijau kepada mana-mana sindiket yang menjalankan aktiviti judi dalam talian untuk beroperasi,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Susulan itu, Bukit Aman bersama kontinjen polis seluruh negara telah menggerakkan Ops Dadu Khas bermula 15 Januari sehingga semalam bagi menghapuskan kegiatan perjudian online secara keseluruhan.
“Sebanyak 826 serbuan telah dijalankan yang mana seramai 1,355 orang termasuk penjaga premis pusat perjudian berjaya diberkas, turut berjaya dirampas 2,558 unit komputer, tablet, komputer riba, telefon bimbit dan wang tunai bernilai RM189,196 sepanjang operasi.
“Selangor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi sebanyak 342 orang ditahan dalam 132 serbuan manakala Kuala Lumpur pula seramai 213 individu diberkas menerusi 94 serbuan,” ujarnya.
Tambah beliau, PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu terlibat dengan aktiviti perjudian dan akan giat membanteras segala bentuk kegiatan perjudian di masa hadapan. – K! ONLINE