TUMPAT – Tiga lelaki yang maut termasuk dua daripadanya rentung dalam kemalangan di Kampung Paloh, Morak di sini awal pagi tadi dipercayai baru sahaja melakukan jenayah samun dengan melarikan sebuah kenderaan pacuan empat roda
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Mohd. Azmir Damiri berkata, siasatan awal mendapati, empat orang lelaki pada awalnya menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda HR-V.
Menurutnya, bagaimanapun, salah seorang penumpang SUV itu telah melakukan jenayah samun dengan membawa lari sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger di sebuah rumah di Kampung Sungai Pinang di sini kira-kira pukul 1.45 pagi.
“Kejadian itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan yang terdengar bunyi enjin kenderaan pacuan empat rodanya telah dihidupkan sebelum keluar untuk membuat pemeriksaan.
“Ketika salah seorang suspek melarikan kenderaan itu, seorang penumpang HR-V telah keluar dari kenderaannya dan melibaskan senjata tajam ke arah pemilik kenderaan pacuan empat roda tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Azmir, selepas berjaya melarikan Ford Ranger itu, mangsa telah mengejar kedua-dua buah kenderaan dengan memandu sebuah kereta jenis BMW.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, tiga suspek yang menaiki SUV jenis HR-V telah terbabas dan merempuh sebatang tiang di hadapan sebuah rumah di Kampung Paloh, Morak di sini sebelum kenderaan dinaiki mereka terbakar.
“Pemilik kenderaan pacuan empat roda itu melihat kebakaran tersebut, namun terus bertindak mengejar kenderaannya yang telah dibawa lari oleh seorang lagi suspek.
“Selepas hampir 18 kilometer mengejar, kenderaan pacuan empat roda itu akhirnya terbabas di hadapan pejabat pos di Kubang Kerian, Kota Bharu. Bagaimanapun, suspek yang memandu kenderaan itu meloloskan diri selepas kemalangan tersebut,” katanya. -K! ONLINE