SEREMBAN- Selepas empat hari, seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang berjaya ditemukan selamat di sebuah kawasan semak di Eco Park Rantau di sini pagi tadi.
A. Sivapaki, 73, bagaimanapun ditemui dalam keadaan lemah dan mengalami kekurangan air dalam badan.
Ketua Zon Seremban, Penguasa Kanan Bomba II, Khir Amir Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada anggota pasukan mencari yang menjumpai warga emas berkenaan kira-kira pukul 11.40 pagi.
“Mangsa dijumpai di kawasan Eco Park Rantau iaitu sejauh empat kilometer dari ladang sawit di Kampung Sega Tengah, Rantau iaitu lokasi wanita itu dilaporkan hilang.
“Dia berada dalam keadaan lemah akibat kekurangan air. Kami membawanya ke pos kawalan operasi dengan menaiki kereta pacuan empat roda dan dia telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita warga emas hilang ketika mencari lembu di kawasan ladang sawit di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau di sini sejak 30 Januari lalu. -K! ONLINE