fbpx

Tukang masak serang lelaki Pakistan dipenjara 3 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lukman mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan di Mahkamah Majistret dan Sesyen di Butterworth hari ini. Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Seorang tukang masak dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini selepas didapati bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit pada bulan lalu.

Tertuduh, Lukman Abdullah, 33, sebelum itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai lesen atau permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor di sini.

Tertuduh yang masih bujang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Majistret memberi peluang kepada tertuduh membuat pilihan hukuman sama ada mahu didenda atau dipenjara, manakaa tertuduh juga enggan membuat sebarang rayuan.

Sementara itu, Lukman turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan serangan ke atas seorang lelaki warga Pakistan menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 6 petang pada hari dan tempat sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu akan disebut semula pada 31 Mac depan sementara menunggu laporan balistik, manakala dia dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000.

Tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah jenis morfin dan methamphetamine yang didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara kira-kira pukul 1.30 pagi pada 23 Januari lalu.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen Butterworth, Lukman mengaku bersalah di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus atas dua pertuduhan iaitu cuba membunuh lelaki warga Pakistan dengan menembak sebanyak satu das dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel dan memiliki senjata api itu.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas kedua-dua pertuduhan sementara kes akan disebut semula pada 31 Mac depan.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan lelaki warga Pakistan berusia 31 tahun cedera selepas ditembak ketika berada di sebuah kedai runcit tempat mangsa bekerja.

Kejadian dikatakan berlaku akibat perasaan tidak berpuas hati suspek terhadap mangsa. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI