PUTRAJAYA – Tindakan membatalkan permit institut memandu (IM) dan menarik balik sijil tenaga pengajar yang mempunyai rekod ramai pemegang lesen dari institut berkenaan terbabit dalam kemalangan jalan raya hanyalah pandangan peribadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia bukanlah merupakan satu ketetapan dasar oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) pada masa ini.
“Sebarang hala tuju dasar atau apa jua cadangan penambahbaikan sudah tentunya akan dikaji secara holistik dan saintifik terlebih dahulu oleh MOT dengan mengambil kira pelbagai aspek berkaitan termasuk keberkesanannya, kebolehlaksanaanya dan keupayaannya untuk mencapai objektif yang ditetapkan.
“MOT tidak mahu menuding jari secara melulu terhadap pihak tertentu dan seterusnya mempersalahkannya semata-mata berdasarkan andaian atau hipotesis yang tidak berasas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, kajian terperinci itu juga akan melibatkan sesi libat urus bersama semua pihak yang berkepentingan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan penambahbaikan. -K! ONLINE