MONZA, Itali – Pelumba muda Perancis, Pierre Gasly melakukan kejutan selepas menjulang kemenangan di perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Itali di Litar Monza malam kelmarin.
Ia juga merupakan kemenangan pertama pelumba dari Perancis dalam tempoh 24 tahun selepas kali terakhir kemenangan diraih menerusi Olivier Panis pada tahun 1996.
Pada perlumbaan tersebut, pelumba Mercedes, Lewis Hamilton dilihat berpeluang untuk merakam kemenangan buat kali keenam musim ini, namun dia dikenakan penalti 10 saat kerana memasuki hentian pit ketika ia ditutup.
Akibat insiden tersebut, Hamilton sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh sekaligus memberi peluang kepada Gasly meraih kemenangan sulung pada aksi F1 dan juga buat pasukannya Alpha Tauri.
“Secara jujurnya ia merupakan kemenangan yang saya tak jangka dan sukar untuk saya gambarkan apa yang berlaku sekarang. Saya lalui cabaran yang sukar bagi tempoh 18 bulan lalu dan kini segalanya berakhir dengan positif.
“Hari demi hari cara saya berlumba menjadi semakin baik dan pasukan ini memberi saya podium buat kali pertama di Brazil. Hari ini, mereka beri saya kemenangan di Monza, Itali,” kata Gasly.
Dalam perlumbaan tersebut, pelumba McLaren, Carlos Sainz Jr. menamatkan perlumbaan di tempat kedua, manakala pelumba Racing Point, Lance Stroll di tempat ketiga.
Pasukan Ferrari terus berdepan situasi malang selepas kedua-dua pelumba mereka Sebastian Vettel dan Charles Leclerc gagal menamatkan saingan selepas berdepan masalah brek. – AGENSI