fbpx

Percutian di kaki gunung Denai Kabus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Setakat ini, Denai Kabus mempunyai enam unit kotej dipanggil Cottage A berharga RM150 semalam,

PANORAMA menghijau yang boleh dilihat dari kaki gunung Kenderong dan Kerunai ketika berkunjung ke Gerik, Perak amat saujana mata memandang dan mempunyai tarikannya yang tersendiri.

Gunung yang juga dikenali sebagai K2 itu merupakan lokasi tumpuan pendaki dari dalam dan luar negara yang sukakan aktiviti pendakian dan sukan ekstrem.

Pemandangan sedemikian juga mampu merehatkan minda ketika bercuti dan bersantai bersama yang tersayang.

Menyedari hakikat dan tarikan yang ada pada kawasan tumpuan itu, seorang anak jati Gerik mengambil inisiatif membeli tanah di kaki dua gunung tersebut yang dijadikan sebuah homestay dikenali sebagai Denai Kabus Agro Farm and Adventure Resort.

Menurut Dr. Hafez Iftiqar Termizi, 37, dia dan bapanya, Ahmad Termizi Abdul Hamid, 61, membeli tanah di kawasan tersebut pada 2015 namun hanya membukanya kepada pelancong pada 2019.

“Kami membuka homestay Denai Kabus pada 2019 namun tidak lama kemudian, ia ditutup susulan pandemik Covid-19 pada 2020.

Pemandangan gunung yang dilitupi kabus dengan cuaca yang sedikit dingin umpama berada di tanah tinggi itu cukup menarik untuk dirasai


“Selepas semuanya sedikit reda tahun lalu, barulah kami membuka semula pintu destinasi pelancongan ini, khususnya kepada mereka yang sukakan percutian dengan pemandangan gunung dan alam semula jadi,” kata Hafez.

Pemandangan gunung yang dilitupi kabus dengan cuaca yang sedikit dingin umpama berada di tanah tinggi itu cukup menarik untuk dirasai.

Bercerita lanjut, Hafez berkata nama Denai Kabus sendiri diambil daripada kawasan asal itu yang merupakan sebuah denai.

Memandangkan ia terletak di antara dua buah gunung, pengunjung boleh melihat kabus menyelimuti kawasan tersebut, selain panorama awan kapas yang cukup memukau.

“Cuaca pada waktu pagi di Denai Kabus sejuk dan nyaman malah kabus masih boleh dilihat sehingga jam 12 tengah hari.

“Ia lebih cantik dan ketara ketika musim hujan,” jelas Hafez ketika dihubungi Horizon baru-baru ini.

Tambahnya, Denai Kabus juga merupakan lokasi percutian berkonsepkan agro kerana turut menawarkan aktiviti pertanian ladang dan juga aktiviti sukan air seperti berkayak dan memancing.

Malah, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti menunggang kuda dan menaiki kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan Bumi (ATV).

Selain homestay dan penginapan, kawasan seluas enam ekar itu juga turut menempatkan kawasan tanaman seperti kebun durian Musang King dan juga kolam ikan.

“Tarikan di Denai Kabus terletak pada kehijauan pemandangannya dan juga pelbagai aktiviti yang boleh dilakukan bersama keluarga.

“Antaranya termasuk aktiviti pertanian dan bagi keluarga yang mempunyai anak-anak kecil pula, mereka boleh menghabiskan masa dengan membelai dan berinteraksi dengan haiwan peliharaan di sini seperti arnab, ” jelasnya.

Bagi pilihan menu sajian pula, antara tarikan di Denai Kabus ialah nasi dulang, lauk-lauk kenduri sinonim dengan penduduk Gerik yang berlatar belakang melayu pattani seperti gulai umbut pisang yang boleh dinikmati pengunjung.

Setakat ini, Denai Kabus mempunyai enam unit kotej dipanggil Cottage A berharga RM150 semalam, yang setiap satunya boleh menempatkan empat orang individu pada satu-satu masa.

Selain kotej, Denai Kabus juga turut menawarkan khemah untuk disewa bagi mereka yang mungkin lebih memilih untuk tidur di dalam khemah.

“Bagi pengunjung yang mungkin mahu merasai suasana bercuti dalam khemah, kami juga turut menawarkan khemah untuk disewa pada harga RM60 semalam,” katanya.

Hafez berkata pihaknya bercadang untuk menambah jenis penginapan lain seperti hostel dan penginapan jenis studio untuk dinikmati pengunjung dan kawasan itu akan ditutup pada September sehingga November tahun ini bagi kerja-kerja menaik taraf.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI