LIVERPOOL – Pengendali baharu Everton, Frank Lampard dilaporkan mahu rakannya di Chelsea, Ashley Cole untuk menyertai staff kejurulatihan pasukannya di Goodison Park.
Cole ketika ini menjalankan tugas sebagai salah seorang jurulatih untuk skuad bawah 21 tahun England selain turut bekerja di Akademi Chelsea.
Lampard yang diumum menggantikan Rafael Benitez yang dipecat membawa masuk Joe Edward dari Chelsea yang akan bertindak sebagai pembantu pengurus selain dua lagi jurulatih yang pernah bersamanya di Derby County sebelum ini.
Kehadiran Lampard bersama The Toffees menyaksikan beliau berjaya membawa masuk dua pemain, Donny Van De Beek dari Manchester United secara pinjaman selain berjaya mengikat kontrak Dele Alli dari Tottenham Hotspur.
Lampard dan Cole pernah beraksi bersama-sama untuk tempoh lapan tahun di Stamford Bridge dan mereka berjaya meraih kejuaraan Liga Perdana England, empat trofi Piala FA dan juga gelaran Liga Juara-Juara.
Dalam pada itu, Lampard yang menyertai sesi latihan pasukan itu buat kali pertama pada Isnin lalu menekankan aspek keharmonian dalam pasukan dan mahu para pemainnya lebih menikmati permainan bola sepak berbanding memikirkan mengenai tekanan yang menyelubungi.
Lampard berdepan tugas sulit untuk membawa Everton kembali ke prestasi asal apabila menduduki tangga ke-16 liga setakat ini dan hanya memiliki kelebihan empat mata berbanding pasukan di zon penyingkiran. – AGENSI