KUALA LUMPUR – Ribuan pengunjung mula membanjiri kawasan sekitar ibu kota sejak kelmarin sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah selama seminggu.
Orang ramai juga dilihat tidak melepaskan peluang untuk membawa keluarga membeli-belah pada cuti umum lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pusat tumpuan membuat pelbagai promosi jualan murah.
Tinjauan Kosmo! di sini mendapati kebanyakan pengunjung datang dari luar ibu kota yang mengambil peluang untuk bersama keluarga.
Malah ada juga yang mengambil peluang untuk membeli-belah awal persiapan untuk Aidilfitri bagi mengelak kesesakan pada bulan Ramadan nanti.
Antara kawasan yang menjadi tumpuan di sini adalah pusat beli-belah Sogo dan bazar di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Seorang pengunjung dari Terengganu, Ahmad Omar, 37, berkata, dia mengambil peluang itu membawa keluarganya datang ke ibu negara untuk bercuti setelah sekian lama tidak berjalan.
“Saya bertolak selepas subuh dan baru sampai tadi dan niat nak bawa keluarga berjalan terutamanya melihat Dataran Merdeka dan juga pusat beli-belah Suria KLCC,” katanya.
Seorang lagi pengunjung dari Seremban, Azwan Nokman, 43, berkata, dia dan adik-beradik turut mengambil peluang membawa orang tuanya untuk bercuti di tempat-tempat menarik sekitar ibu negara.
“Kami ini dekat sahaja, dalam masa sejam sahaja ke sini dan kali ini sambil bercuti sambil berjalan-jalan bersama keluarga di setelah dua tahun tidak bergerak kerana takut terkena jangkitan Covid-19,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengunjung dari Skudai, Johor Bahru, Fazadila Ahmad, 40, mengambil kesempatan membawa anak-anaknya untuk berjalan-jalan dan membeli barang sejak dari semalam.
“Kami dah dua hari di sini dan semalam saya bawa anak-anak pergi berjalan di Bukit Bintang untuk mencari barang-barang mereka dan kemungkinan akan pulang ke Johor esok (hari ini) bagi mengelakkan terperangkap di dalam kesesakan,” katanya.
Seorang peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Bazaar Usahawan Muda, Jefri Mohd. Tahir, 31, berkata, sambutan ketika cuti Tahun Baharu Cina adalah amat memberangsangkan.
“Alhamdulillah jualan setakat dua hari ini amat menggalakkan walaupun saya risau juga dengan penularan kes Covid-19 ketika ini. Kalau sebelum ni kita ambil secara pukal, sekarang kita ambil sikit-sikit dulu. Sebab kalau kerajaan kata tak boleh berniaga, habis modal kami,” ujarnya.-K! ONLINE