KUALA NERUS – Seramai 120 nelayan di Kampung Tok Jembal di sini, berdepan dilema untuk mencari rezeki di laut ekoran muara pantai di kawasan berkenaan dalam keadaan cetek.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, kedalaman muara pantai yang dahulunya sekitar 4.57 meter kini hanya tinggal kurang satu meter, sekali gus menyebabkan bot nelayan sukar untuk keluar dan mudik ke laut bagi mencari rezeki.
Seorang nelayan, Che Rani Abdullah, 56, berkata, masalah muara pantai cetek itu sebenarnya sudah berlarutan sejak empat tahun lalu.
Katanya, masalah tersebut menyebabkan nelayan tempatan terpaksa turun ke laut sebelum pukul 6 pagi pada setiap hari sewaktu air pasang.
“Sekiranya lewat, bot kami tidak boleh melepasi muara pantai kerana akan tersangkut pada beting pasir.
“Masalahnya, kami tidak boleh berada lama di laut iaitu hanya sekitar dua hingga tiga jam kerana perlu pulang sebelum air surut,” katanya ketika ditemui di Pantai Tok Jembal di sini semalam.
Che Rani berkata, situasi itu menyebabkan tidak banyak ikan yang dapat dibawa pulang.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Zuki Omar, 45, berkata, bot-bot nelayan juga sering rosak akibat terkena beting pasir ekoran kecetekan muara pantai berkenaan.
Katanya, setiap kali berlaku kerosakan, kos membaiki amat tinggi iaitu kira-kira RM5,000 selain nyawa nelayan juga turut berisiko ekoran masalah itu.
“Kami pernah bersepakat mengeluarkan duit poket untuk upah pihak swasta mendalamkan muara pantai pada 2019. Inisiatif yang menelan belanja RM3,000 itu cuma bertahan seminggu sebelum beting pasir kembali berkumpul di muara,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Zuki merayu tindakan bersepadu daripada kerajaan bagi mengatasi masalah tersebut.
“Jika dibiarkan berlarutan lagi, kami golongan nelayan ini yang akan merana dan menderita. Lagi pun sudah ramai yang berpindah menurunkan hasil laut ke Mengabang Telipot dan Batu Rakit walaupun lokasi itu agak jauh,” katanya.-K! ONLINE