fbpx

Hajat anak berbakti pada ibu terbantut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Amelia menunjukkan rumahnya di Taman Bandar Baru, Sungai Lalang yang masih belum dibaiki sepenuhnya selepas terbakar pada November tahun lalu.

SUNGAI PETANI – Tiada apa diharapkan seorang anak melainkan dapat berbakti kepada ibu yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) mental sehingga ke akhir hayat wanita itu.

Namun, hasrat murni Nurul Amelia Natasya Mohamad Tajudin, 25, terbantut apabila terpaksa hidup berjauhan dengan ibunya, Zurinah Ibrahim, 58, selepas rumah di Taman
Bandar Baru, Sungai Lalang di sini terbakar pada November tahun lalu.

Menurutnya, rumah tersebut belum dapat dibaiki sepenuhnya ekoran masalah kewangan.

“Sejak rumah musnah terbakar pada 29 November lalu, saya menumpang di rumah kawan, manakala ibu ditempatkan di rumah penjagaan orang tua di sini,” katanya di sini baru-baru ini.

Tambahnya, dia yang bekerja sebagai operator kilang hanya cukup menanggung perbelanjaan makan dan minum, membeli ubat serta kos rawatan ibu.

“Ia menyebabkan saya sukar untuk menyimpan bagi menyiap­kan kerja-kerja pembaikan rumah yang tertangguh sehingga hari ini.

“Setakat ini hanya bahagian bumbung telah dipasang baharu dan itu pun menggunakan sumbangan orang ramai berjumlah RM7,500, manakala kerosakan lain masih belum dibaiki.

“Selain merujuk kepada pe­mimpin tempatan, laporan kejadian dan jumlah kerugian yang mencecah lebih RM100,000 akibat kebakaran turut dibuat kepada pihak berkuasa dengan harapan saya akan dibantu menerusi kategori bantuan bersesuaian,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, masih tiada bantuan diberikan untuk kerja-kerja pembaikan rumah oleh mana-mana pihak berkaitan.

“Saya kini hidup dalam tekanan kerana inilah satu-satunya kediaman yang kami ada, tambahan lagi mengenangkan nasib ibu yang perlu diurus orang lain.

“Sebagai anak sepatutnya saya yang bertanggungjawab menjaga kebajikan ibu sepanjang masa,” luahnya.

Nurul Amelia berkata, dia mempunyai seorang adik perempuan berusia 22 tahun yang telah berkahwin, manakala ibunya merupakan ibu tunggal.

Orang ramai yang ingin meng­hulurkan bantuan, boleh me­nyumbangkan ke akaun CIMB milik Nurul Amelia di 7625580162 atau hubunginya, 012-5664043.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI