SEDIH dan kecewa. Barangkali, itu perasaan yang dialami orang ramai ketika menonton sebuah video pergaduhan tular membabitkan pasangan suami isteri yang dalam proses perceraian baru-baru ini.
Bukan hanya pergaduhan yang berlaku, tetapi amarah netizen tambah membara apabila melihat tindakan si suami yang berlaku kasar terhadap isteri dengan menumbuk dan menarik rambut wanita itu di hadapan anak perempuan mereka.
Punca kejadian tersebut difahamkan kerana si isteri enggan rujuk kembali dengan suaminya selepas tidak lagi tinggal sebumbung sejak November tahun lalu.
Disebabkan video tersebut, maka timbullah pelbagai komen dan kutukan terhadap tindakan lelaki itu yang dilabel sebagai seorang suami gagal kerana berkelakuan kasar terhadap keluarga sendiri iaitu orang-orang yang sepatutnya dilindunginya.
Tidak kurang juga, terdapat segelintir netizen yang menyuarakan kegusaran andainya mendapat pasangan baran sehingga pandangan mereka terhadap institusi perkahwinan mula berubah.
Pendek kata, ramai yang mula takut untuk berkahwin kerana bimbang tersalah pilih pasangan terutamanya bagi kaum wanita. Jadi, benarkah sekarang kita berdepan dengan ketandusan lelaki berkualiti dalam masyarakat?
Mengulas tentang perkara tersebut, Pakar Perunding Kaunserl Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, memang ramai wanita meluahkan hasrat enggan berkahwin.
“Dalam sehari, saya menguruskan banyak kes permasalahan rumah tangga termasuk kaunseling. Jadi macam-macam isu pernah saya hadapi termasuklah luahan wanita yang enggan dan takut berkahwin kerana bimbang tersalah pilih pasangan.
“Perkara tersebut berlaku bukan hanya kepada golongan anak dara tetapi janda.
“Puncanya, sebab trauma dengan kisah silam. Ditambah lagi dengan kestabilan dari segi kerjaya dan kewangan, maka mereka yakin mampu hidup berdikari tanpa suami. Jadi dari situ kita boleh kata, susahnya untuk mencari lelaki berkualiti,” katanya.
Ujar Hushim lagi, dengan pelbagai faktor yang menjadi punca kes perceraian termasuk suami tidak memberi nafkah, cemburu buta dan curang, menjadikan ramai wanita lebih selesa hidup sendiri atau nekad meneruskan kehidupan bersama anak-anak.
Apatah lagi jika pasangan panas baran dan mudah naik tangan, seperti yang dilihat dalam video tular di atas.
Sebab itu kata Hushim, betapa pentingnya untuk pasangan suami isteri duduk bersemuka dan berbincang dengan harmoni jika berdepan sebarang isu dalam rumah tangga.
“Jika tidak berhasil, maka sesi kaunseling boleh dijadikan ikhtiar kedua untuk mencari kesepakatan tanpa perlu mencetuskan pergaduhan.
“Ditambah pula dengan pandemik, maka ada faktor tambahan mengapa tekanan berlaku dalam sesebuah perhubungan suami isteri. Contohnya isu kewangan. Kedua-dua belah pihak, suami dan juga isteri perlu sama-sama mainkan peranan untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing,” ujarnya.
Sesungguhnya, keganasan rumah tangga meninggalkan kesan dan trauma yang cukup dalam buat mangsa termasuklah anak-anak sehingga boleh menjejaskan kehidupan mereka pada jangka masa panjang.
Maka, buatlah pilihan dengan bijak demi masa depan rumah tangga yang bahagia dan harmoni. Pesanan ini bukan hanya untuk kaum wanita, tetapi juga buat golongan lelaki.-K! ONLINE