PENGGEMPUR sensasi skuad kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha bakal menjadi senjata terbaharu pasukan Melaka United dalam usaha memberikan cabaran pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Kehadiran pemain yang mesra dengan gelaran ‘Mat Yo’ itu diumumkan oleh pengurusan skuad Hang Jebat, sekali gus dijangka membentuk gandingan ampuh bersama dua pemain import, Sony Norde dan Ifedayo Olusegun di posisi serangan.
Menurut kenyataan Melaka United, pengalaman luas bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu diharapkan dapat membantu skuad Hang Tuah memberikan cabaran pada saingan Liga M kali ini.
“Melaka United ingin mengumumkan pemain berpengalaman, Nurshahrul sebagai pemain terbaharu yang sah menyertai skuad Hang Tuah musim ini.
“Dia antara pemain senior tempatan yang masih beraksi serta pernah bermain dengan beberapa pasukan Liga M seperti Kelantan, JDT, Negeri Sembilan, ATM, Terengganu, Felda United FC dan Pahang.
“Selain itu, dia juga pernah beraksi bersama kelab Liga Thailand, BG Pathum United FC pada musim 2020 sebelum kembali ke tanah air menyertai skuad Sarawak United musim lalu.
“Norshahrul juga telah membuat lebih 80 penampilan bersama skuad Harimau Malaya dengan 14 gol di peringkat antarabangsa dan diharap pengalamannya dapat membantu pasukan bagi kempen kali ini,” kata kenyataan tersebut.
Skuad kendalian Risto Vidakovic telah melakukan rombakan pada kempen kali ini dengan menandatangani beberapa pemain seperti Syahrul Azwari Ibrahim, Syazwan Andik dan Fadhli Shas selain import baharu iaitu Ifedayo, Justin Baas serta Emmanuel Oti.