KUTUB SELATAN – Saintis-saintis dilaporkan menggunakan spesies penguin sebagai petunjuk kepada perubahan iklim yang tinggal berhampiran Kutub Selatan, lapor laman berita Wion News, kelmarin.
Kawasan barat tertentu seperti Semenanjung Antartika telah mengalami pemanasan yang pantas manakala Antartika Timur kekal sejuk dan dilitupi ais.
Penguin dikatakan lebih mudah dijejaki berbanding spesies lain kerana haiwan itu bersarang di darat dan berbulu hitam serta sisa najisnya yang boleh diperhatikan pada ais putih.
“Kami mengira sarang penguin untuk mengetahui berapa banyak yang berada dalam satu koloni, menghasilkan anak setiap tahun dan sama ada jumlah itu meningkat atau menurun dengan keadaan persekitaran,’’ kata seorang penyelidik, Borowicz dari Universiti Stony Brook di New York.
“Kami boleh menggunakan penguin sebagai spesies indikator untuk melihat bagaimana seluruh ekosistem beroperasi,’’ jelas seorang penyelidik lain, Wethington.
Kajian dijalankan dengan mengira setiap ekor penguin dan kaedah lain termasuk menerusi imej satelit. Habitat baharu dilihat muncul apabila perubahan iklim berlaku manakala ada yang terpaksa bermigrasi ke iklim yang lebih sejuk.
Spesies penguin Gentoo dengan paruh oren terang dan tanda putih di kepala dilihat lebih menyukai air laut dengan ketulan ais yang terapung.
Pada separuh abad ke-20, suhu di Semenanjung Antartika mula meningkat lebih cepat berbanding kebanyakan tempat lain di dunia menyebabkan populasi penguin Gentoo berkembang ke selatan dan dikenali sebagai ‘gentoofikasi Antartika’.
Keadaan dilihat bertambah buruk bagi spesies penguin Adelie yang bergantung kepada ais di laut untuk pembiakan dan pemakanan. Secara keseluruhan, populasi penguin Adelie semakin meningkat tetapi sesetengah populasi telah menurun lebih 65 peratus. – Agensi