MADRID – Penyerang Barcelona, Ansu Fati menjadi penjaring termuda sepanjang zaman buat Sepanyol apabila meledak satu gol ketika membantu pasukan itu menang 4-0 ke atas Ukraine pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium Alfredo Di Stefano awal pagi semalam.
Jaringan tersebut sekali gus menyaksikan pemain berusia 17 tahun 311 hari itu meleburkan rekod 95 tahun yang dilakukan Juan Errazquin pada 1925 ketika berusia 18 tahun 344 hari.
Selain Fati, pemain baharu Manchester City, Ferran Torres turut mencetak nama selaku penjaring, sementara dua gol lagi dijaringkan Sergio Ramos.
Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menyuarakan kegembiraannya serta memuji keyakinan yang ditunjukkan produk akademi La Masia itu meskipun beraksi menentang pemain lebih senior.
“Kami tidak pandang pada usia ketika memilih pemain. Saya faham jika Fati ada lakukan kesilapan kerana itu proses pembelajaran untuknya tetapi keyakinannya sangat menakjubkan.
“Dia berhak untuk rasa gembira. Usianya baru 17 tahun dan perlukan sedikit masa lagi untuk jadi pemain lebih matang. Fati sentiasa merendah diri dan bekerja keras,” kata Enrique.
Sementara itu, Fati mengakui bangga serta selesa untuk bekerjasama dengan Enrique, lebih-lebih lagi bekas jurulatih Barcelona itu memberi layanan sama rata kepada semua pemain.
“Saya bangga untuk berada dalam pasukan ini bersama Luis (Enrique) serta pemain-pemain lain. Kehadiran saya diterima baik dan ia berikan saya lebih keyakinan,” ujar Fati. – AGENSI