fbpx

K2

Menjana kewangan dengan minyak masak terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pekerja Alam Flora menghimpunkan minyak masak terpakai ke dalam tong simpanan.

BIARPUN cuaca pada hari itu agak panas, Noor Adrina Kamaruddin, 47, tetap meneruskan hasratnya untuk ke Pusat Kitar Semula Komuniti Putrajaya yang sudah menjadi rutinnya sejak sedekad lalu.

Setibanya di pusat kitar semula yang terletak di Presint 9, Putrajaya itu, tanpa melengahkan masa, dia terus membawa bersama minyak masak terpakai yang telah dikumpulkannya sebelum ini untuk ditimbang dan dijual ke pusat kitar semula tersebut yang dikendalikan oleh Alam Flora Sdn. Bhd.

“Menjadi kebiasaan saya kini untuk menyimpan minyak-minyak masak yang telah digunakan. Minyak masak yang dikumpul ini kemudiannya saya akan jual semula di pusat kitar semula ini.

“Sebulan sekali atau dua bulan sekali, saya akan datang untuk menjual semula minyak masak terpakai yang telah dikumpulkan. Selalunya setiap kali ke sini saya akan membawa minyak masak terpakai seberat lima hingga enam kilogram untuk dijual semula di situ,” kata suri rumah itu kepada K2.

Tambahnya, selain dapat menjana pendapatan dengan penjualan semula minyak masak, dia dapat mengurangkan pembuangan sisa-sisa tersebut di tempat yang tidak sepatutnya.

Noor Adrina mula menjual semula minyak masak terpakai sejak 10 tahun lalu setelah mengetahui bahawa bahan tersebut boleh dijual kembali selepas digunakan.

Noor Adrina yang sudah lebih 18 tahun menetap di Putrajaya menjelaskan, dia sering ke pusat kitar semula tersebut sejak 2008 lagi untuk menjual bahan-bahan yang dikitar semula.

Namun, pada tahun 2010 ketika ke situ dia mengetahui bahawa pembelian semula minyak masak terpakai baru dilaksanakan pusat kitar semula itu.

“Saya mengakui sebelum ini lebihan minyak masak akan dibuang begitu sahaja di tempat yang tidak sepatutnya.

“Tetapi setelah program ini dilaksanakan, lebihan minyak masak yang digunakan akan saya simpan untuk dijual semula di sini,” tuturnya.

Dianggarkan setiap isi rumah di negara ini menggunakan purata minyak masak minimum sebanyak dua kilogram sebulan dengan 45 peratus minyak masak yang sudah tidak digunakan dibuang begitu sahaja.

NOOR ADRINA (kiri) menyerahkan minyak masak terpakai kepada pihak Alam Flora untuk ditimbang bagi mendapat pulangan kewangan.

Menyedari akan kesan negatif pembuangan minyak masak yang tidak terkawal terhadap alam sekitar telah mendorong Alam Flora melaksanakan program Perolehan Semula Minyak Masak Terpakai (RUCO) dengan membeli semula lebihan minyak masak yang telah digunakan.

Lori bergerak

Melalui program itu, Alam Flora akan membeli semula minyak masak yang telah digunakan oleh penduduk.

Pengurus Projek, Bahagian Pemerolehan Semula Sisa Alam Flora, Ismi Azura Istear Khan berkata, program tersebut mula dilaksanakan sejak tahun 2010 di Putrajaya.

Menurutnya, Putrajaya telah diumumkan sebagai Role Model Kitar Semula Kebangsaan pada 2004.

“Sejak 2004, kita menyediakan pusat kitar semula ini untuk penduduk setempat menjual barangan yang boleh dikitar semula.

“Pada 2010, kita menambah minyak masak terpakai sebagai salah satu bahan yang boleh dijual oleh orang ramai untuk tujuan kitar semula,” katanya.

Tambahnya, pembelian minyak masak terpakai itu juga dilaksanakan setelah mendapat respons daripada penduduk setempat yang bimbang jika bahan itu dibuang tanpa kawalan akan menyebabkan berlaku masalah lain.

Sebagai penyelesaian, Alam Flora memperkenalkan inisiatif pembelian semula minyak masak terpakai itu di Putrajaya.

Harga untuk pembelian semula minyak terpakai oleh Alam Flora pada ketika ini adalah pada kadar RM1.10 bagi setiap sekilogram. Bermakna, jika mengumpulkan tiga kilogram minyak masak terpakai, seseorang itu boleh meraih RM3.30.

Menurutnya, purata pembelian minyak masak terpakai di Putrajaya adalah sekitar 20 tan sebulan. Melihat kepada kesedaran orang ramai, program RUCO itu turut diperluaskan di Kuantan, Pahang diikuti kawasan Lembah Klang.

Ismi Azura menjelaskan, pihaknya juga kini bergerak untuk membeli minyak masak terpakai dengan menggunakan sebuah lori khas. Perkhidmatan lori bergerak itu kini terdapat di sekitar Kuantan dan selepas ini perkhidmatan itu akan diperluaskan di Lembah Klang.

“Sebelum ini penduduk yang datang ke pusat kitar semula Alam Flora untuk menjual minyak masak terpakai. Kini kami sendiri akan bergerak dengan menggunakan lori khas untuk membeli dan membuat kutipan minyak masak terpakai,” katanya.

LORI bergerak RUCO yang menerima minyak-minyak masak terpakai daripada orang ramai.

Tambahnya, pembayaran minyak masak terpakai juga akan dilakukan secara tunai kepada penjual.

Jelasnya, minyak masak terpakai yang dibeli oleh Alam Flora itu kemudiannya akan dikumpulkan di Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS) sebelum dihantar kepada syarikat tertentu yang akan memprosesnya menjadi biodiesel.

Kongsinya, kebanyakan isi rumah tidak mengetahui tentang kaedah membuang lebihan minyak masak yang telah digunakan dan bahan tersebut dibuang secara salah ke dalam sink.

Minyak masak terpakai boleh dilupuskan melalui sistem pembuangan sisa pepejal. Namun, daripada dilupuskan begitu saja, minyak masak terpakai sebenarnya boleh diproses menjadi biodiesel yang kemudiannya digunakan oleh jentera-jentera yang menggunakan enjin diesel.

Dalam pada itu, minyak masak kebiasaannya dihasilkan daripada kelapa sawit yang berfungsi sebagai medium pemindahan haba untuk proses penggorengan.

Berdasarkan kajian, minyak masak tidak boleh digunakan berulang kali kerana boleh memberi kesan yang tidak baik kepada kesihatan.

“Mengikut pakar, had penggunaan minyak masak adalah sebanyak tiga kali penggunaan dan selepas itu sudah tidak elok untuk digunakan. Selain itu, ia juga bergantung kepada jenis masakan yang dimasak.

“Jika digunakan untuk menggoreng makanan yang bersalut rempah, ia sesuai untuk digunakan sekali sahaja. Selain itu, penggunaan suhu yang lebih daripada 180 darjah Celsius ketika menggoreng juga akan menurunkan kualiti minyak masak dengan cepat,” terang Ismi Azura.

Jelasnya, program RUCO bukan sahaja dapat membantu memulihara alam sekitar, malahan penduduk setempat juga dapat menjana pendapatan tambahan.

“Pembuangan minyak masak terpakai tanpa kawalan boleh menyebabkan berlakunya pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Hasil tinjauan kami mendapati kebanyakan isi rumah akan membuang lebihan minyak masak ke sink dan mengalirkannya ke longkang. Perbuatan itu akan menyebabkan longkang tersumbat serta menjadi punca berlakunya pencemaran air.

“Justeru, program ini dilihat telah memberi manfaat kepada banyak pihak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI