Oleh NORHAFIZAN ZULKIFLI
KUANTAN – Hasrat seorang wanita untuk membeli tiga buah komputer riba tidak kesampaian apabila dia ditipu sehingga mengalami kerugian sebanyak RM109,200.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, kejadian bermula pada 19 Januari lalu apabila mangsa cuba membeli komputer riba yang dijual melalui laman media sosial Instagram.
“Mangsa yang bekerja sebagai kerani berurusan dengan seorang lelaki dan berbincang untuk membeli tiga unit komputer riba jenama Asus dan mangsa mula membuat pembayaran secara dalam talian ke lima akaun berbeza pada 20 Januari lalu.
“Dalam tempoh dua hari mangsa telah melakukan 15 transaksi ke akaun suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM109,200 meliputi kos penghantaran, kad jaminan, cukai kastam, cabutan bertuah dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd Wazir suspek terus meminta wang daripada mangsa menyebabkan mangsa berasa tertipu dan membuat laporan di balai polis Kuantan. -K! ONLINE