PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bakal berlaku di Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Sabah pada petang ini.
MetMalaysia dalam laporan cuaca di Facebook berkata, cuaca buruk itu melibatkan kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Batang Padang dan Muallim.
Selain itu, hujan lebat serta ribut petir turut tertumpu di Tanah Tinggi Cameron, Pahang serta beberapa daerah di Selangor.
“Ia termasuklah Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang.
“Manakala keadaan yang sama turut melibatkan kesemua kawasan di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya di sini hari ini.
Menurut MetMalaysia, keadaan ini dijangka berterusan sehingga pukul 6 petang nanti bagi negeri-negeri terlibat.
Sementara itu, amaran ribut petir juga dikeluarkan bagi negeri Sabah melibatkan kawasan Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) serta Kudat dan keadaan hujan lebat serta ribut petir dijangka berlarutan sehingga pukul 7 petang hari ini. – K! ONLINE