WASHINGTON – Seorang ahli psikik popular meramalkan makhluk asing akan mengajar manusia tentang cara-cara menghapuskan semua jenis penyakit, sekali gus meningkatkan purata jangka hayat kepada 220 tahun, lapor akhbar Daily Star semalam.
Menurut Uri Geller, dia yakin bahawa individu yang lahir pada zaman kini berpeluang bertemu makhluk asing ketika jangka hayat mereka.
Berbeza daripada kepercayaan sebelum ini yang menyatakan bahawa makhluk asing menculik manusia, ia sebaliknya akan membantu manusia merungkai misteri penyakit-penyakit yang tidak dapat diubati.
“Rakan-rakan sekalian. Bayi yang lahir pada hari ini akan berpeluang untuk menemui makhluk asing yang akan mengajar manusia untuk menghapuskan segala jenis penyakit. Jangka hayat manusia juga akan meningkat kepada purata 220 tahun,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.
Geller pada minggu lepas memberi amaran kepada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) agar bersiap sedia untuk menghadapi penaklukan makhluk asing di Bumi dalam masa terdekat.
Ciapan Geller menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang memberikan pelbagai pendapat.
“Makhluk asing akan mengajar manusia untuk menjadi lebih beradab kerana ia tidak akan mendarat selagi kita belum menjadi seorang yang matang,” kata seorang netizen.
“Saya tidak kisah mengenai hidup lebih lama. Saya hanya ingin hidup dengan penuh bertenaga, tidak mengalami sebarang kesakitan, lenguh-lenguh badan serta mempunyai ketenangan fikiran seperti kanak-kanak berusia 10 tahun,” kata seorang lagi pengguna. – AGENSI