GEORGE TOWN – Cubaan sekumpulan penunggang motosikal meloloskan diri menggunakan laluan pintas di Jalan Aziz Ibrahim menghala ke Queensbay, Bayan Baru di sini akhirnya memakan diri apabila ditahan polis awal pagi tadi.
Mereka terdiri lebih 20 lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu ditahan dalam sekatan Op Samseng Jalanan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira pukul 3.30 pagi.
Operasi tersebut dikendalikan Ketua JSPT IPK negeri, Superintendan Zafri Zolkapli bersama tiga pegawai kanan dan 18 anggota termasuk dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya dan Timur Laut.
Difahamkan, laluan jambatan singkat itu seringkali digunakan kumpulan pelesit rempit untuk ke Pantai Seagate selepas beredar dari lokasi tumpuan di Sungai Nibong, Sungai Dua dan Batu Uban.
Jalan Aziz Ibrahim juga digunakan kumpulan tersebut ketika dikejar polis berikutan mempunyai banyak jalan akses ke kawasan perumahan bertingkat di situ.
Zafri berkata, operasi tersebut dijalankan setelah pihaknya menerima banyak aduan berhubung kegiatan samseng jalanan yang mengganggu ketenteraman awam selain menunggang secara merbahaya.
Menurutnya, kehadiran kumpulan motosikal itu juga dikatakan sering berbuat bising terutama pada malam minggu dan cuti umum. -K! ONLINE