TOKYO – Satu kajian mendapati bahawa bayi lelaki yang menonton televisyen selama sekurang-kurangnya dua jam sehari adalah tiga kali ganda lebih berisiko untuk menghidap autisme, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kajian yang dijalankan sekumpulan penyelidik dari Universiti Yamanshi di Jepun itu membandingkan tahap masa skrin dalam kalangan 84,000 bayi berusia satu tahun terhadap kadar diagnosis ketika mereka berumur tiga tahun.
Hasilnya mendapati bahawa kadar autisme adalah 3.5 kali lebih tinggi dalam kalangan kanak-kanak lelaki yang terdedah kepada skrin selama dua jam sehari, berbanding yang tidak menonton televisyen.
Bagaimanapun, tiada hubung kait yang sama ditemui bagi kanak-kanak perempuan.
Dalam kajian tersebut, para penyelidik menyoal ibu bapa kepada 84,000 bayi mengenai tempoh masa anak-anak mereka menonton televisyen pada usia satu tahun.
Mereka seterusnya ditanya sama ada anak mereka didiagnos dengan autisme antara usia dua ke tiga tahun, di mana tempoh masa ketika sindrom itu kebiasaannya dikesan.
Hasilnya mendapati bahawa 330 kanak-kanak (0.4 peratus) disahkan menghidap autisme pada usia tiga tahun dengan 251 adalah kanak-kanak lelaki dan 79 kanak-kanak perempuan.
Ini diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19 yang telah mencetuskan perubahan pantas dalam gaya hidup, sekali gus meningkatkan masa menonton televisyen dalam kalangan kanak-kanak di seluruh dunia. – Agensi