fbpx

Kes Omicron tingkat penggunaan katil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kenaikan kes Covid-19 berkaitan dengan varian Omicron menyebabkan peningkatan penggunaan katil di hospital pada Minggu Epidemiologi (ME) keempat bermula daripada 23 hingga 29 Januari iaitu sebanyak tiga peratus, dengan kadar penggunaan 28.5 peratus serta purata jumlah penggunaan 2,837.

Dalam masa sama, penggunaan katil Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) turut menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus, dengan kadar penggunaan 39.9 peratus serta purata jumlah penggunaan 4,344.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan penggunaan katil PKRC berikutan peningkatan kluster pendidikan iaitu pelajar asrama akan dimasukkan ke PKRC sekiranya tiada tempat isolasi sesuai bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelajar lain dan komuniti.

“Selain itu, terdapat peningkatan kes baharu sebanyak 34.6 peratus iaitu daripada 23,752 kes ME ketiga kepada 31,980 kes ME keempat. Purata kes aktif turut meningkat 14.0 peratus dengan purata sebanyak 40,473 kes (ME ketiga) kepada 46,158 kes (ME keempat).

“Kes kematian pula menunjukkan penurunan konsisten sebanyak 27.5 peratus sehingga mencapai dua angka iaitu dengan 74 kematian pada ME keempat berbanding 102 kematian pada ME ketiga dengan penurunan dicatatkan semenjak ME 52/2021. Kali terakhir kes kematian mingguan mencatat angka dua digit adalah pada ME 17/2021 iaitu sebanyak 95 kes,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, purata kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun 15.5 peratus iaitu 109 kes (ME keempat) berbanding 129 kes (ME ketiga) selain purata kes memerlukan alat bantuan pernafasan turut menurun 11.5 peratus iaitu 46 kes (ME keempat) berbanding 52 kes (ME ketiga). -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI