PETALING JAYA – Terkesan melihat banyak perkongsian video memaparkan kekasaran yang berlaku melibatkan pasangan sejak akhir-akhir ini membuatkan pelakon Liyana Jasmay tampil bersuara.
Pelakon berusia 34 tahun itu bertindak mempersoalkan sikap segelintir kaum lelaki yang bergelar suami tetapi tidak menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.
Dia berkata demikian merujuk kepada perkongsian sebuah video tular memaparkan pergaduhan yang berlaku antara sepasang suami isteri dan seorang anak mereka di tepi jalan baru-baru ini.
Dalam video tersebut, lelaki itu mengasari isterinya serta cuba membawa lari anak perempuan mereka, namun dihalang oleh dua orang lelaki yang berada di tempat kejadian.
“Nampak banyak sangat video pasal lelaki buat perempuan. Ada lelaki pukul bini tepi jalan dengan anak. Kenapa nak jadi suami kalau perangai macam itu?
“Suka ke pukul anak orang? Kepada lelaki yang buat macam itu di luar sana, sila jangan kahwin atau ada kekasih mahupun ada hati nak ‘try’ gadis,” luahnya.
Barangkali lelah melihat kejadian sama sering kali berlaku dalam masyarakat apatah lagi yang menjadi mangsa adalah kaum wanita, Liyana tampil memberi nasihat.
Katanya, kepada sesiapa wanita yang berdepan kejadian sama tidak kira daripada suami sendiri, tunang mahupun kekasih, segeralah membuat laporan polis.
“Tolonglah buat laporan polis atau tinggalkan saja. Jangan buang masa dengan lelaki bodoh tak guna seperti itu,” katanya.
Sejak minggu lalu, beberapa kejadian suami memukul isteri di khalayak ramai mencuri perhatian netizen yang mengecam tindakan tidak bermoral tersebut.
Antaranya, sebuah video seorang lelaki yang memukul isterinya di hadapan ramai ketika berada di sebuah restoran, namun kejadian tersebut dipercayai berlaku beberapa tahun lalu dan kembali tular dalam internet. – K! ONLINE