BEIJING – Aplikasi cari jodoh Gay, Grindr hilang dari kedai-kedai aplikasi di China selepas pihak berkuasa mengetatkan lagi kawalan internet dengan ‘menghapuskan’ kandungan online yang tidak disukai oleh Parti Komunis.
Pihak berkuasa siber China kini dalam kempen selama sebulan untuk memadamkan semua kandungan terlarang dan sensitif semasa cuti Tahun Baharu Cina dan temasya Olimpik Musim Sejuk di Beijing pada Februari ini.
Walaupun China selaku negara berpenduduk paling ramai di dunia, membenarkan homoseks pada 1997, perkahwinan songsang masih lagi dilarang, manakala topik mengenai lesbian, gay, biseks dan transeksual (LGBT) kekal tabu.
Komuniti LBGT kini tertekan berikutan pelaksanaan langkah penapisan kandungan laman web dan larangan paparan percintaan gay dalam filem.
Data daripada firma penyelidikan internet, Qimai menunjukkan bahawa Grindr dipadamkan daripada kedai Apple’s App di China pada Khamis lalu.
Pencarian aplikasi berkenaan dalam Android dan platform serupa kendalian syarikat-syarikat China juga gagal.
Aplikasi Google Play tiada di China. – AFP