fbpx

Kilang industri guna meter khas kesan sisa tercemar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Semua kilang industri di negeri ini bakal menggunakan meter khas bagi mengetahui jumlah pembuangan sisa-sisa kumbahan yang boleh menjejaskan alam sekitar.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Datuk Ir. Hashim Osman berkata, kaedah baharu itu juga memudahkan pengesanan pihak yang terlibat dalam mencemarkan sungai.

“Apabila pemeriksaan dilakukan, kita akan mengetahui kuantiti pembuangan sisa dan setiap jumlah sisa yang dilepaskan akan dibayar oleh pemilik kilang.

“Cara ini juga secara langsung akan memudahkan operasi pengecaman kilang-kilang yang melakukan pencemaran di satu-satu kawasan industri,” katanya.
Terdahulu, penduduk di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak Khamis lalu melibatkan 1,292 kawasan.

Siasatan mendapati gangguan itu berpunca daripada pencemaran bau ekoran tindakan sebuah kilang yang melepaskan bahan pelarut ke dalam Sungai Gong sehingga menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) di Sungai Se­langor dihenti tugas.

Dalam pada itu, Hashim berkata, semua kilang di Se­langor juga bakal melaksanakan pembua­ngan sifar atau zero discharge sisa kumbahan di sungai dalam masa terdekat.

Katanya, perkara yang masih dalam kajian itu akan mengkehendaki setiap kilang melakukan kitar semula sisa air kumbahan mereka.

“Perkara itu telah dibuktikan semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ( PKP ) apabila tiada kilang beroperasi dan sungai seperti Sungai Klang dan Penchala bersih dan cantik.

“LUAS telah membangkitkan cadangan ini kepada kerajaan negeri dan meminta kita mengkaji dengan terperinci pelaksanaannya,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga akan melaksanakan Rakan Sungai pada 26 September ini yang akan disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ujarnya, setakat ini 42 komuniti telah bersetuju menjadi rakan sungai terutama mereka yang tinggal di tepi sungai.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI