TAMPIN – Tiada apa yang dapat diungkapkan oleh seorang wanita, Norsuziela Zainal Abidin, 47, selain cekal menghadapi hari mendatang dalam mencari rezeki buat keluarga selepas suaminya terlantar sejak dua tahun lalu.
Dia yang memerlukan lebih RM1,000 sebulan untuk komitmen keluarga kini hanya bergantung pada pendapatan sebagai pengusaha kantin yang ada ketikanya hanya mencatat keuntungan RM1.50 sehari.
Menurut Norsuziela, suaminya Fakaruddin Ramli, 54, kini terlantar selepas dijangkiti radang paru-paru dan kencing manis sehingga menyebabkan jari kaki terpaksa dipotong.
Katanya, setiap bulan dia perlu membayar ansuran rumah dan kenderaan selain perbelanjaan rumah dan kos perubatan suaminya.
“Saya usahakan kantin sekolah yang pelajarnya pun tidak ramai, adakalanya setelah ditolak modal dan bayaran pekerja, keuntungan RM1.50 sahaja.
“Situasi ini makin sukar lebih-lebih lagi selepas pandemik. Mujurlah kerajaan memberikan pengecualian bayaran sewa, sedikit sebanyak meringankan beban kewangan saya,” katanya di sini semalam.
Tambah Norsuziela, ketika ini mereka mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sedang memohon bantuan bagi pembelian barangan untuk membersih luka di kaki suaminya daripada Baitulmal.
Sementara itu, Fakaruddin memberitahu, dia tersentuh dengan pengorbanan isterinya dalam mengambil alih tanggungjawab menguruskan kewangan keluarga yang semakin sukar.
Menurutnya, mereka mempunyai tiga orang anak lelaki dengan seorang lagi masih bersekolah, manakala yang sulung menggantikan tempatnya membantu perniagaan kantin mereka.
“Mulanya pada tahun 2018, saya dijangkiti selulitis dan kemudiannya disahkan mempunyai radang paru-paru.
“Saya memang ada kencing manis, jadi penyakit ini makin memburuk sehingga menyebabkan jari kaki saya terpaksa dipotong dan nyaris kaki kanan saya juga terpaksa dipotong,” ujarnya.
Orang ramai yang mahu membantu boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam 0502-1020-2509-39 atas nama Norsuziela Zainal Abidin. -K! ONLINE