KULIM – Pengguna yang melalui Jalan Sidam Kanan merayu kerajaan membina lampu isyarat di simpang empat Jalan Sidam Kiri-Jalan Pokok Jambu, Padang Serai, di sini bagi memudahkan urusan lebih 2,000 penduduk terutama pada waktu puncak.
Persimpangan itu merupakan laluan penduduk dari Kampung Lesung Tujuh, Kampung Bukit Sidam ke Kampung Sidam Kanan serta jalan utama untuk menuju ke Sungai Petani dan Kulim atau ke pekan Padang Serai.
Laluan itu turut digunakan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Guar Lobak, Maktab Mahmud Cawangan Kulim, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Lela Pahlawan dan SMK Padang Serai setiap hari.
Penduduk dari Kampung Bukit Sidam, Mohd. Khir Osman, 66, berkata, situasi itu menjadikan simpang tersebut sibuk dengan lalu lintas dan boleh membahayakan nyawa pengguna.
“Tanpa lampu isyarat, pengguna jalan raya terutama ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah terpaksa mengambil risiko serta masa yang lama untuk melepasi simpang ini.
“Keadaan trafik semakin sibuk terutama waktu puncak dan sudah sampai masanya kami menerima kemudahan lampu isyarat kerana kenderaan yang melalui Jalan Sidam Kiri-Pokok Jambu semakin bertambah,” katanya ketika ditemui semalam.
Mohd. Khir ditemui bersama Ketua Armada Bersatu Bahagian Padang Serai, Mohd. Nashrah Md. Sultan yang meninjau keadaan persimpangan itu.
Abdul Hamid Abdullah, 78 pula mendakwa, laluan itu sibuk pada waktu pagi dan petang iaitu semasa pekerja pergi dan pulang ke tempat kerja.
“Kerap berlaku kemalangan kecil dan serius ekoran segelintir pemandu memandu laju dan tidak sempat mengelak kenderaan lain keluar simpang,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Nashrah berkata, dia akan menghantar surat pemohonan sekali lagi kepada Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri dan Pejabat Daerah Kulim agar pihak terbabit memasang lampu isyarat di simpang itu demi keselamatan pengguna. -K! ONLINE