MELBOURNE – Bintang tenis Sepanyol, Rafael Nadal kini bergelar pemain tenis perseorangan lelaki terbaik dunia selepas mengukir sejarah meraih gelaran Grand Slam ke-21 di Terbuka Australia lewat malam kelmarin.
Meskipun kemampuannya sempat diragui selepas ketinggalan dua set perlawanan, pemain berusia 36 tahun tersebut bangkit menewaskan pemain Rusia, Daniil Medvedev 2-6, 6-7(5/7), 6-4, 6-4, 7-5.
Nadal mengakui puas dengan kemenangan tersebut meskipun terpaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan dalam tempoh lima jam 24 minit.
“Pada perlawanan tersebut, saya fikir perlawanan saya akan berakhir seperti tahun 2012 dan 2017. Tetapi, saya terus berjuang.
“Saya boleh kalah dan dia (Medvedev) boleh menjuarai saingan ini, tetapi saya tidak boleh berputus asa.
“Saya akui secara fizikal, saya tidak berada pada tahap terbaik. Kecederaan kaki yang saya alami sebelum ini menyebabkan mustahil untuk kembali berada dalam keadaan sempurna. Tetapi, hari ini saya boleh bermain tanpa rasa sakit.
“Saya mahu memegang rekod gelaran Grand Slam. Ini adalah pertandingan dan saya masih kompetitif. Namun, apapun yang berlaku kepada saya, Roger Federer dan Novak Djokovic, kami semua telah mencapai impian kami.
“Saya percaya akan terus menikmati peluang dalam siri jelajah selepas ini dengan waktu yang masih ada,” katanya.
Kemenangan kali ini menyaksikan Nadal mengecewakan Medvedev buat kali kedua pada pentas final Grand Slam selepas menewaskannya pada aksi lima set di Terbuka Amerika Syarikat pada tahun 2019. – AGENSI