TIDAK salah dikatakan memandu di bandar besar seperti berada di medan perang dengan kemungkinan risiko kecederaan dan kematian.
Sekiranya memandu perlahan pastinya akan kedengaran bunyi hon dan paling teruk akan ‘dipancung’ kenderaan lain.
Situasi itu kadangkala boleh menyebabkan kemalangan sama ada bergesel, melanggar belakang kenderaan dan sebagainya.
Ironinya, walaupun had laju telah ditetapkan, masyarakat bandar khususnya mahu segera sampai ke tempat kerja dan rumah. Tiada istilah biar lambat asalkan selamat.
Jadi, saman memandu laju dan melanggar lampu isyarat sentiasa menjadi dominasi terutama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.
Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan menyatakan akan meneliti cadangan dikemukakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) bagi penurunan had laju 30 kilometer sejam (km/j) di kawasan terpilih di ibu negara.
Miros mencadangkan had laju bagi kawasan perumahan, bandar dan kampung sebagai sebahagian daripada perancangan keselamatan jalan raya kebangsaan untuk 2021 hingga 2030.
Ia juga sebahagian daripada kempen ‘Street for Life’ di bawah Minggu Keselamatan Jalan Raya Global PBB ke-6 (UNGRSW).
Ini bagi pemberdayaan komuniti di Asia Tenggara untuk melaksanakan had 30 km/j di kawasan yang menyaksikan pejalan kaki bercampur dengan trafik.
Persoalannya, berhasilkah langkah itu sedangkan had laju 50km/j pun sukar dipatuhi dengan kebanyakan pemasalahan disebabkan sikap pengguna.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, secara dasarnya beliau bersetuju dengan cadangan tersebut, namun mencurigai sama ada mampu dilaksanakan sepenuhnya.
“Pada keseluruhannya, kita kena akui sikap pemandu itu sendiri hendak mematuhi sesuatu peraturan baharu amat sukar dengan amalan memandu laju menjadi tabiat mereka.
“Kalau mahu letakkan penguat kuasa di kawasan yang dihadkan kelajuan itu, timbul persoalan berapa lama.
“Jadi, akhirnya kesalahan memandu secara laju akan berulang kembali walaupun pada lokasi ditetapkan 30km/j,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Justeru, katanya, kajian mendalam harus dilakukan sama ada praktikal had kelajuan dapat dilaksanakan atau sebaliknya.
“Ini termasuk dalam kejayaan penentuan had laju yang rendah telah dilaksanakan sebelum ini seperti 50km/j. Sekiranya tidak memberikan sebarang kesan sudah tentunya tidak bermakna.
“Ini akan menjadi ‘fire back’ dengan kecaman di media sosial dan orang ramai mengaitkannya dengan isu lebih kepada meningkatkan (mengaut keuntungan) melalui saman,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Keselamatan Jalan Raya, Prof Madya Dr. Law Teik Hua menegaskan, penurunan had kelajuan secara tidak langsung mengurangkan impak pelanggaran lalu lintas.
Namun, ujarnya, ia (penurunan had laju) perlu dilaksanakan pada lokasi diperlukan sahaja terutama di kawasan kemalangan selain hospital dan sekolah.
“Kita berbicara mengenai varian kelajuan kerana ada yang setuju dan tidak mengenainya selain bersangkutan dengan tahap mobiliti terutamanya di bandar.
“Sekiranya diturunkan boleh juga menyebabkan kesesakan lalu lintas. Kadang-kadang motif (tujuannya) betul, namun implementasi menjadi isu utama,” jelasnya. -K! ONLINE